Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan Malaysia Bil. 29/2021 pada 3 Ogos 2021 telah meluluskan penggunaan logo tunggal baharu Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 1 Ogos 2021. 

Penggunaan logo tunggal ini adalah selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan untuk menjenamakan TVET KPM melalui Kolej Vokasional (KV) dengan mewujudkan satu lambang yang sama bagi memperlihatkan sudut visibiliti dan ketampakan identiti korporat yang seragam, konsisten dan standard dalam semua aspek. Penggunaan logo tunggal ini juga secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada KV sebagai satu entiti besar dalam KPM yang menawarkan pelbagai jenis program aliran kemahiran dan vokasional selain membantu memantapkan promosi serta memudahkan masyarakat umum untuk mengenalpasti produk-produk KV.

Moto Kolej Vokasional: “bersama membina masa depan”. Huruf K dan melambangkan litar-litar seperti garisan dalam microcircuit yang merupakan binaan asas dalam bidang elektronik dan robotik Ia juga merupakan tunjang dalam sistem “cyber-physical” di era IR4.0. Huruf ini juga sebagai perlambangan sebuah pusat transformasi pendidikan teknik dan vokasional. Bentuk segitiga satah condong (inclined plane) melambangkan jenis mesin ringkas. Ia juga adalah simbolik kepada sebuah pelantar yang menjadi teras mendokong kestabilan KV sebagai sebuah  institusi kemahiran. Satah condong ini juga bertindak sebagai “ramp” atau tanjakan untuk KV melonjak ke tahap yang lebih tinggi. Simbol right” / “√” melambangkan maksud yes” / “betul” iaitu KV sebagai sebuah institusi pilihan yang tepat , betul dan siap terbukti relevan dan kontemporari. KV juga merupakan institusi pilihan tepat yang menawarkan pelbagai jenis kemahiran untuk memperkembangkan potensi diri  pelajar-pelajarnya dalam memantapkan kompetensi diri seiring dengan kehendak industri.

Menggunakan tiga (3) warna iaitu:

  1. Biru tua: Melambangkan kematangan sebuah institusi kemahiran yang unggul dan berupaya melahirkan modal insan berkemahiran dan profesional dalam pelbagai bidang kemahiran. 
  2. Jingga/Oren: Melambangkan kaedah pembelajaran yang kreatif dan inovatif dan menggalakkan pelajar agar sentiasa berinovasi.
  3. Merah: Perlambangan semangat jati diri yang kental dan kekuatan yang dimiliki untuk  mencapai cita-cita.

Antara asas-asas pertimbangan penggunaan logo baharu KV seluruh negara ini adalah seperti berikut:

  1. Memperkasakan imej KV (penjenamaan KV): menonjolkan perbezaan produk KV dengan institusi yang lain;
  2. Membina identiti korporat: memaparkan keseragaman serta memperkukuhkan visibiliti dab reputasi KV;
  3. Memupuk semangat kekitaan dan kesepaduan dalam kalangan warga KV serta meningkatkan keberkesanan alumni KV dalam networking dan philantrophy;
  4. Memudahkan promosi produk dan hasil inovasi KV seterusnya mempertingkatkan penyertaan kerjasama strategik berimpak tinggi dalam pembangunan TVET KPM;
  5. Melambangkan kualiti dan pencapaian KV: meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang pengajian; dan
  6. Menggalakkan jenama TVET dengan tindakan mewujudkan jenama TVET tunggal selaras dengan cadangan Pelan Pelaksanaan Dasar TWG-TVET RMKe-12.

Semoga dengan penggunaan logo tunggal baharu ini akan menggambarkan keterikatan dan kesepaduan antara semua KV dan mengangkat serta memantapkan lagi martabat KV sehingga ke peringkat antarabangsa.